Sabtu, 6 November 2010

Sejarah Sekolah Kebangsaan Sungai Buloh

Sejarah sekolah dan latar belakang

Sekolah Kebangsaan Sungai Buloh seperti institusi-institusi pendidikan yang lain juga mempunyai rentetan sejarahnya yang tersendiri. Pada masa itu, Kampung Sungai Buloh dikenali sebagai Kampung Baru Sungai Buloh. Penduduknya dianggarkan lebih kurang seramai 100 keluarga. Penduduk kampung pada masa itu, amat dahagakan ilmu. Mereka tidak mahu anak-anak mereka ketinggalan tanpa ilmu pengetahuan.

Dengan desakan kuat naluri yang cintakan ilmu pengetahuan, maka pada tahun 1952, masyarakat setempat telah bermuafakat bagi menubuhkan sebuah sekolah di situ. Hasil dari gotong royong masyarakat setempat , maka terbinalah sebuah bangunan sekolah di atas kawasan seluas 1 ekar 3 rood dan 2 pool. Bangunan ini diperbuat daripada bahan kayu hutan, papan dan beratapkan nipah. Hanya disebelah bawahnya sahaja berlantaikan simen yang tidak begitu sempurna dengan ukuran 20' X 80' . Ianya telah menempatkan pelajar seramai 60 – 70 orang lelaki dan pebrempuan. Sekolah ini dinamakan Sekolah Melayu Sungai Buloh. Inilah sekolah yang kedua dibina di Mukim Teriang Ilir selepas Sekolah Melayu Durian Tipus.

Pada tahun 1956, hasil keprihatinan kerajaan pada masa itu, maka terbinalah sebuah bangunan baru di atas tapak yang sama dengan menggunakan tiang beluti, kayu-kayu, beratap zink dan berdidingkan papan.

Bangunan ini dibina oleh pihak JKR Jelebu dengan menempatkan dua bilik darjah. Pada tahun yang sama juga, satu unit rumah guru telah didirikan.

Seterusnya pada tahun 1958, pihak kerajaan telah mendirikan sebuah bangunan lagi dengan ukuran 24'X 100' dengan menempatkan empat bilik darjah dan sebuah pejabat dengan murid seramai 200 oranang dan 10 orang guru.Namun pada masa itu kemudahan seperti api dan air masih belum sempurna.Kerajaan hanya membekalkan satu injen air dan tiada sumber elektrik.Hanya pada tahun 1980 barulah kemudahan eletrik dibekalkan di sekolah ini.

Kekurangan dan kelemahan yang wujud ketika itu ternyata tidak melunturkan semangat serta hasrat murni masyarakat untuk menghantar anak-anak mereka menimba ilmu di sekolah ini.Tahun demi tahun,jumlah murid sentiasa bertambah.Maka pada tahun 1970 kerajaan telah membina satu lagi bangunan dua tingkat dengan ukuran 40'X120'.

Reformasi pendidikan negara yang pesat ditingkatkan dari semasa ke semasa telah memberikan pelbagai kemudahan dan kemajuan infrastruktur sekolah serta struktur pentadbiran sekolah.Seterusnya ,sekolah ini diubah nama dari Sekolah Melayu Sungai Buloh kepada Sekolah Kebangsaan Sungai Buloh.

Dengan dikelilingi perkampungan tradisional dan sawah padi yang menhijau,sekolah ini terus menjadi unggul di kaca mata semua pihak dan telah melahirkan nama-nama besar yang berjasa.

Kini perjuangan murni guru-guru diteruskan lagi demi mendidik anak bangsa di sini.Kejayaan demi kejayaan dalam semua bidang telah ditempa dan menjadi kenangan manis bagi warga SKSB.Kini sekolah ini diterajui oleh En.Sahari bin Mutu sebagai Guru Besar yang ke-11.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan